MA63: Autonomi kesihatan kepada Sarawak perlu perbincangan lebih mendalam, kata Dr. Sim

Spread the love

KUCHING, 22 Jan: Penurunan kuasa bagi autonomi kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sarawak memerlukan perbincangan yang lebih mendalam, kata Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, ini kerana aspek berkenaan bersifat kompleks dan perlu perbincangan lanjut bersama Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Namun demikian, jelas Dr. Sim, setakat ini Kerajaan Sarawak melihat perkembangan positif membabitkan perkara berkenaan berdasarkan jaminan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sektor kesihatan adalah sangat rumit maka kita akan duduk berbincang bersama Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg), Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Perkara ini adalah di peringkat jawatankuasa teknikal dan Perdana Menteri menghuraikan dengan jelas apa yang ada dalam perjanjian itu kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita hadir majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, barisan menteri dan pegawai khas yang terlibat perlu mencapai kata putus dalam perbincangan itu.

Kata beliau, ketika ini fokus menteri adalah kepada dasar utama manakala bagi pegawai kementerian pula, mereka lebih tertumpu kepada perincian dalam perjanjian tersebut.

“Pegawai-pegawai yang bertugas perlu mencapai persefahaman dengan jemaah menteri kerana kita (menteri) hanya menunggu keputusan. Mereka yang bertanggungjawab untuk menyediakannya (laporan dan syor),” katanya.

Ketika lawatan sulung ke Sarawak kelmarin,  Anwar menjelaskan beliau akan meletakkan tuntutan Sarawak dan Sabah terhadap MA63 sebagai perkara utama yang perlu diselesaikan segera. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.