Anwar: Malaysia kutuk sekeras – kerasnya tindakan bakar Al-Quran di Sweden

Spread the love

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar senaskah kitab suci Islam, al-Quran di Stockholm, Sweden.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga menggesa Kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu selain memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.

“Penghinaan secara terang-terangan ke atas kitab suci Islam oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakaan ke atas beliau  sama seperti memarakkan Islamofobia dan mewujudkan provokasi melampau kepada sensitiviti bukan hanya kepada Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion penganut Islam di seluruh dunia.

Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang menyasarkan Muslim di seluruh dunia selain daripada segala bentuk perbuatan menghasut dan meniup api perkauman dalam bentuk perkataan atau  perbuatan dan memandang dengan serius peningkatan arus ucapan kebencian kerana kepercayaan dan keetnikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata Malaysia menekankan kepentingan utama dalam mendukung prinsip-prinsip dialog, libat urus dan saling menghormati dalam menyelesaikan pertikaian.

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya menolak perbuatan mengumpan kebencian menggunakan bangsa atau agama yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan kekal bersatu padu terhadap segala bentuk hasutan kebencian dan keganasan.

Paludan, pemimpin parti pelampau kanan Denmark “Stram Kurs”, diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.