Tidak mustahil Sarawak mampu hasilkan kereta mesra alam

Spread the love

KUCHING, 21 Jan: Impian Sarawak untuk menghasilkan kenderaan mesra alam yang menggunakan teknologi elektrik dan juga hidrogen tidak mustahil untuk direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman setelah melihat agensi di bawah Kerajaan Sarawak termasuk CENTEXS sudah mula mengorak langkah menjalankan kajian terhadap kenderaan hibrid dari negara luar, di sini.

Namun begitu, katanya, sekiranya hasrat itu mahu direalisasikan, ia memerlukan pelaburan yang besar daripada pelabur dari dalam dan luar negara.

“Saya lihat kita bergerak laju sekarang ini kerana kita lihat Semenanjung Malaysia dah banyak hasilkan kenderaan EV tetapi kenderaan hidrogen belum lagi”.

“Jadi saya lihat Sarawak ada peluang untuk mengkaji industri hidrogen ini, dan kalau kita nak jadi pengeluar kenderaan hibrid, mungkin boleh tetapi kita perlukan pelaburan yang besar kerana industri ini bernilai berbilion ringgit, “ katanya ketika ditemui TVS di kediamannya pada Khamis lepas.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihak CENTEXS kini sedang menguji Kia EV6 untuk mengkaji teknologi yang diguna pakai oleh kenderaan tersebut.

“Salah satu kenderaan yang kita uji ialah Kia EV6 yang mana sebelum ini kita juga pernah uji model BMW EV dan juga Tesla EV kerana kita nak kaji sistem pengecasan kereta itu dan fungsi-fungsi yang lain.

“Pada masa sama ia memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar CENTEXS dan membuka peluang kepada mereka untuk membuat penyelengaraan, “ ujarnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.