Tambahan RM1b kepada Sarawak dan Sabah, keselamatan sempadan terjamin – Nanta

Spread the love

KUCHING, 20 Jan: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan menambah peruntukan RM1 bilion untuk tujuan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Menurut beliau, ia merupakan satu keperluan kepada kedua-dua negeri berkenaan dalam memastikan sempadan negara terus terjamin.

“Apa yang diperlukan sekarang adalah untuk membina jalan raya di sempadan kerana kita mahukan keselamatan negara kita lebih terjamin agar ia memudahkan kita untuk mengawalnya”.

“Ia bukan faktor ancaman semata-mata, tetapi ia turut membuka peluang yang lebih luas terhadap sektor perniagaan bersama dengan negara jiran kita, jadi pengumuman itu amat kita alu-alukan, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau mendedahkan kementeriannya akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan Sabah bagi memperhalusi dan memastikan projek-projek yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan memberi peruntukan tambahan berkenaan ekoran mengambil kira pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur seperti yang telah dimaklumkan oleh Presiden republik itu, Jokowi Dodo kepada Anwar beberapa hari lalu.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.