Tugu kucing putih di Padungan, simbol perpaduan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 19 Jan: Aktiviti pencahayaan dan pemakaian busana tradisional setiap musim perayaan pada tugu kucing putih di bulatan Padungan disifatkan sebagai simbol perpaduan di Sarawak dalam meraikan pelbagai perayaan.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian menterjemahkan simbol sedemikian merupakan kemeriahan setiap perayaan yang disambut sekali gus mencerminkan Sarawak yang terkenal dengan toleransi dalam masyarakat majmuk.

“Seperti yang anda tahu, bahawa tugu kucing putih di bandar raya Kuching akan dilengkapi dengan pakaian tradisional pelbagai kaum yang terdapat di Sarawak pada setiap musim perayaan”.

Baca artikel berkaitan sini:

  1. 1. MBKS terbuka dengar cadangan warga Kuching
  2. 2. Kolaboratif Sarawak-China, perkukuh hubungan dua hala

“Ia bukti yang kukuh dan hebat dalam mempamerkan Sarawak sebagai negeri perpaduan, seperti biasa tugu kucing putih akan dipakaikan busana tradisional masyarakat Cina pada Tahun Baharu Cina, begitu juga Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, ia akan dilengkapi dengan baju tradisional masyarakat Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan program pencahayaan pada tugu kuching putih di Jalan Padungan di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, kata Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, perpaduan yang utuh di negeri ini harus dipertahankan.

Tegasnya, rakyat di negeri ini tidak harus terpengaruh dengan percubaan segelintir pihak yang ingin memecahbelahkan kaum berdasarkan faktor pembahagian, polarisasi dan politiking (DPP).

“Kita (Sarawak) mahu terus bergerak ke hadapan, jadi kita tidak boleh terikut dengan anasir luar yang mengamalkan DPP (pembahagian, polarisasi dan politiking),” katanya.

Terdahulu, sebelum menyempurnakan simbolik pemakaian busana kepada tugu tersebut, Dr Sim turut melakukan acara menghidupkan lampu di bebarapa lokasi lazim perayaan Tahun Baharu Cina di sekitar bandar raya ini.

Lokasi yang terlibat ialah Pasar Stutong, Pasar Kenyalang Park dan Pasar Petanak.

Hadir sama Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.