Setiap kaum diutamakan dalam pembangunan di bawah pimpinan GPS di Sarawak

Spread the love

BINTANGOR, 19 Jan: Kepimpinan kerajaan memberi tumpuan ke arah perancangan strategik ke atas pelaksanaan pelbagai projek bagi memastikan pembangunan khususnya di luar bandar Sarawak kekal mampan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, kejayaan usaha itu tidak hanya bergantung pada kerajaan sebaliknya menuntut kerjasama semua pihak termasuk pemimpin masyarakat.

Malah katanya, persefahaman dan jalinan kerjasama kukuh dalam kalangan semua pihak amat penting dalam bagi memastikan pelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

“Sehubungan itu, tiada kaum harus merasa terpinggir dengan setiap pembangunan dirancang kerana kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwakili oleh semua kaum.

“Yang pastinya setiap pembangunan dilaksanakan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat secara langsung atau sebaliknya,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat Sungai Sian di sini, hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, Bintangor bakal berubah wajah apabila beberapa peruntukan untuk projek rakyat sudah diluluskan antaranya, pembinaan tebingan sungai Bintangor yang baharu.

“Banyak lagi projek-projek dalam perancangan, justeru kita amat mengharapkan kerjasama semua pihak agar apa yang dirancang menjadi kenyataan.

“Saya juga ingin mengucapkan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tiong Hua yang meraikannya dan berharap perayaan kali ini membawa kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan,” tambahnya.

Dalam pada itu, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menghargai kerjasama rapat ADUN Semop dalam usaha membangunkan pekan Bintangor.

Katanya, beberapa inisiatif pembangunan hasil daripada permohonan bersama antara kedua-dua wakil rakyat telah memberi manfaat kepada penduduk di kawasan masing-masing.

“Suasana kepimpinan politik yang tenang serta masyarakat Sarawak yang bekerjasama adalah faktor utama kerajaan GPS mampu melaksanakan pelbagai projek pembangunan dengan rancak dan lancar,” ujarnya.

Pada majlis yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada Kelab Tarian Singa Yong Shen Sarikei.

Program diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan pentas dan cabutan tiket bertuah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.