Muzium baharu di Bintulu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun

Spread the love

KUCHING, 18 Jan: Projek pembinaan sebuah muzium baharu di Bintulu dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, projek berkenaan telah diluluskan oleh kerajaan negeri dan pemilihan Bintulu dibuat atas beberapa faktor.

Kata Abang Johari, ini termasuklah latar belakang sejarah di Bintulu selain potensi yang dimiliki kawasan berkenaan yang pesat membangun.

“Antara sejarah yang berlaku di Bintulu ialah Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dikenali sebagai Majlis Umum telah diadakan di sana.

“Ini menjadikan Bintulu sebagai sebuah bahagian yang mempunyai sejarah tersendiri dalam Perlembagaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Restoran Budaya Borneo, di Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini malam ini.

Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sementara itu, Abang Johari berkata, muzium berkenaan kelak dijangka menjadi tarikan kebudayaan untuk pengunjung luar negara bagi sektor perindustrian di Bintulu.

“Pelancong akan dapat menikmati keunikan sajian Sarawak menerusi konsep restoran dalam muzium.

“Sektor perindustrian di Bintulu yang pesat berkembang akan menarik pelancong luar terutamanya dari Korea Selatan dan Jepun,” katanya.

Berhubung Restoran Budaya Borneo pula, Abang Johari optimis kemudahan itu akan menjadikan muzium berkenaan sebagai hab pelancongan selain pengunjung luar dapat menghayati kebudayaan Sarawak. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.