Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan diaktifkan semula, mesyuarat pertama di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 19 Jan: Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan khas telah diaktifkan semula selepas tidak diteruskan oleh kerajaan terdahulu.

Khabar baik itu menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah hanya dikuatkuasakan untuk Sarawak sahaja.

Perkara tersebut kata Fatimah diputuskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan mempengerusikan mesyuarat pertamanya di negeri ini.

“Menteri telah bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan ini diaktifkan dan hanya ini untuk Sarawak sahaja, negeri lain tidak ada jawatankuasa khas ini. Kita yang minta daripada Menteri Dalam Negeri supaya diwujudkan Jawatankuasa Khas dibawah Perkara 15A untuk Sarawak ini sahaja dan beliau bersetuju”.

“Jadi, saya melihat kesungguhan pihak beliau oleh sebab menteri sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu bersama saya dan seterusnya proses meluluskan permohonan itu akan dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah yang juga Ketua Pergerakan Wanita PBB menyatakan sokongan penuh kepada penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita akan bekerjasama dan ini adalah selari dengan hasrat Suhakam juga. Jadi, aspirasi kita sama sebenarnya untuk membuat sesuatu yang terbaik untuk kanak-kanak”.

“Pada masa sama, ia seiring dengan hasrat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kanak-kanak mendapatkan hak mereka sewajarnya,” ujarnya.

Terdahalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju melantik Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menganggotai Suruhanjaya Kanak-Kanak berkuatkuasa serta-merta dalam usaha menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan kanak-kanak.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.