FIFA dedah lima bilion orang mengikuti siaran Piala Dunia Qatar 2022

Spread the love

GENEVA, 19 Jan: Sebulan selepas Argentina memenangi Piala Dunia Qatar 2022, FIFA mengumumkan kira-kira lima bilion orang mengikuti siaran kejohanan bola sepak paling berprestij itu, lapor Xinhua.

“Di media sosial, menurut Nielsen sekitar 93.6 juta siaran merentasi pelbagai platform, dengan 262 bilion capaian kumulatif serta 5.95 bilion tontonan,” menurut FIFA dalam satu kenyataan pada Rabu.

Qatar 2022 mencipta satu siri rekod Piala Dunia apabila sebanyak 3.4 juta penonton menyaksikan perlawanan di stadium, iaitu angka paling tinggi dalam sejarah – dan 172 gol dijaringkan semasa kejohanan itu, juga yang tertinggi setakat ini.

Beberapa pencapaian baharu turut direkodkan termasuk Lionel Messi dari Argentina membuat penampilan paling banyak (26) perlawanan Piala Dunia mengatasi rekod yang dicatatkan oleh Lothar Matthaus dari Jerman, manakala gol 68 saat daripada pemain Kanada, Alphonso Davies ketika perlawanan menentang Croatia dicatat sebagai gol terpantas dalam sejarah Piala Dunia.

Pada usia 18 tahun, Gavi dari Sepanyol dinobat penjaring gol termuda Piala Dunia.

Ia juga merupakan Piala Dunia pertama yang dianjurkan di negara Arab; pasukan Afrika pertama (Maghribi) mara ke separuh akhir; dan tiga pasukan Asia layak ke pusingan 16 buat kali pertama dalam sejarah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.