Abang Johari yakin keupayaan Anwar angkat martabat Malaysia

Spread the love

KUCHING, 19 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini berupaya mengangkat martabat Malaysia di persada dunia.

Keyakinan itu adalah berdasarkan pengalaman luas dan hala tuju jelas dimiliki Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

“Dengan kekuatan yang ada, kita bukan sahaja dapat mengangkat martabat Malaysia tetapi juga memainkan peranan terhadap landskap dunia.

“Saya percaya beliau (Anwar) dapat mengangkat Malaysia sebagai negara yang dihormati oleh negara-negara luar,“ katanya berucap pada Majlis Jamuan Negeri bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Khamis malam.

Baca artikel berkaitan sini

  1. 1. Tuntutan MA63 mesti diselesaikan segera, bersungguh-sungguh – Anwar
  2. 2. Anwar puji Sarawak teroka ekonomi hijau dan hidrogen

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari berkata lagi, selepas Pilihan Raya Umum ke-15, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara yang merupakan asas dalam pembangunan negara.

“Kami di belakang kerajaan anda (pimpinan Anwar). Saya tahu anda (Anwar) memiliki semangat (berjuang demi rakyat).

“Saya pasti dengan latar belakang dan ilmu pengetahuan yang anda miliki, kita bersama-sama Sarawak dan Sabah boleh wujudkan semangat berpasukan untuk kita bekerja demi seluruh Malaysia,“ jelasnya.

Majlis Jamuan Negeri itu merupakan antara program sempena lawatan kerja Anwar ke Sarawak selama dua hari yang bermula hari ini.

Ia merupakan lawatan kerja pertama beliau ke Sarawak sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.