MyAirline lancar destinasi penerbangan kedua di Sarawak

Spread the love

SIBU, 18 Jan: Langkah MyAirline melancarkan penerbangan Kuala Lumpur-Sibu sebagai destinasi keduanya ke Sarawak hari ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memenuhi keperluan perjalanan rakyat khususnya sewaktu musim perayaan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata dengan kadar tambang promosi serendah RM59 untuk penerbangan sehala, inisiatif syarikat penerbangan tambang murah ini akan memudahkan pergerakan melalui udara di antara Kuala Lumpur dan Sibu.

“Saya percaya dengan perkhidmatan terbaik disediakan sudah pastinya ia akan memberi kepuasan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sibu hari ini.

Tardahulu beliau tiba di sini bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyAirline, Rayner Teo dalam penerbangan sulung syarikat itu ke Sibu.

Sementara itu merujuk kepada isu berkaitan peningkatan tambang penerbangan yang sering dikatakan melonjak secara mendadak setiap tiba musim perayaan, Khairul Firdaus berkata peningkatan itu pastinya tidak adil kepada rakyat.

Menurutnya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing sudah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta mengadakan perjumpaan dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk berbincang mengenai isu lonjakan tambang itu, dan beliau yakin perjumpaan itu akan membuahkan hasil yang dapat memanfaatkan semua pihak.

Sementara itu Teo berkata sambutan orang ramai terhadap penerbangan destinasi kedua MyAirline ke Sarawak itu sangat menggalakkan, dan beliau yakin akan berterusan pada masa akan datang.

“Pada masa yang sama ini akan memberi peluang kepada orang ramai bergerak di antara Kuala Lumpur dan Sibu atau sebaliknya,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.