Kastam rampas 1.6 tan mercun seludup

Spread the love

BUTTERWORTH, 18 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 1.6 tan mercun dan bunga api seludup menerusi satu serbuan di hadapan sebuah premis di George Town, di sini minggu lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, rampasan membabitkan 463 kotak mercun bernilai RM87,010 itu dipercayai untuk dijual menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Mercun dan bunga api berkenaan ditemui di dalam sebuah lori yang dipercayai tidak berkastam dengan cukai berjumlah RM56,556.50″.

“Tiga suspek lelaki berusia 30 hingga 42 tahun yang disyaki terlibat turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.

Tambah Hamisan, siasatan mendapati mercun berkenaan dibawa masuk ke negara ini menerusi laluan darat dari sebuah negara di Asia Tenggara dari sempadan utara.

Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata JKDM turut berjaya menyita 129 buah skuter elektrik yang didapati membuat pengikraran palsu menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pangkalan Kontena Butterworth Utara di sini pada Disember lalu.

“Skuter disyaki tidak berkastam yang diimport sebuah syarikat berpangkalan di Sungai Petani, Kedah berkenaan dianggarkan bernilai RM283,800 dengan cukai RM85,140.

“Pengimport mengikrar sebagai jenis import sepenuhnya (CBU), sedangkan ia adalah dagangan jenis pemasangan tempatan (CKD) kerana untuk mendapat manfaat pengecualian cukai penuh,” katanya lagi.

Menurut beliau, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.