Indeks jenayah Miri menurun

Spread the love

MIRI, 18 Jan: Indeks jenayah di daerah Miri mencatatkan penurunan 51 peratus bagi Januari hingga Disember tahun 2022, berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejayaan itu tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan sokongan padu berterusan daripada semua pegawai dan anggota yang menghayati tanggungjawab dan peranan masing-masing.

“Secara keseluruhannya, kadar jenayah dan keselamatan di daerah Miri adalah terkawal. Pada tahun 2022 yang lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah berjaya mencatatkan penurunan jenayah indeks sebanyak 51 peratus pengurangan iaitu bersamaan dengan 292 kes iaitu dari jumlah 569 kes bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 kepada 277 kes bagi tempoh Januari hingga Disember 2022,” katanya semasa Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hari ini.

Warga IPD Miri dinasihatkan untuk sentiasa mengingati tanggungjawab yang dipikul bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai dan terus dipertingkatkan bagi memenuhi ekspektasi masyarakat dan kerajaan.

Selain itu, statistik tangkapan dalam penyalahgunaan dadah telah menunjukkan peningkatan dari tahun 2021 dan tahun 2022.

“Melihat kepada statistik tangkapan dalam penyalahgunaan dadah pula, seramai 563 orang tangkapan bagi tempoh Januari sehingga Disember 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, tahun 2022 iaitu seramai 849 tangkapan. Peningkatan ini adalah sebanyak 50.7 peratus orang tangkapan. Ini menunjukkan kesungguhan IPD Miri memerangi isu dadah yang menjadi musuh nombor satu negara,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pihak IPD Miri juga akan bersiap siaga untuk menghadapi perubahan cuaca monsun timur laut bagi memberi bantuan keselamatan dan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di kawasan yang berlaku hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir di sesetengah tempat.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat Miri yang meninggalkan rumah untuk bercuti panjang sempena sambutan Tahun Baharu Cina untuk memaklumkan kepada balai polis berdekatan supaya pihak polis akan membuat rondaan dan pemantauan agar tidak berlaku kes pecah rumah semasa musim perayaan itu.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.