Amalan 3R bantu kurangkan pelepasan gas rumah hijau

Spread the love

KUCHING, 18 Jan: Amalan 3R (kurangkan, gunakan, kitar semula) boleh membantu dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang dihasilkan di tapak pelupusan sampah merangkumi inisiatif memelihara persekitaran sihat untuk generasi akan datang.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian berkata, konsep dan amalan 3R merupakan salah satu tunjang utama dalam Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) iaitu Kelestarian Alam Sekitar.

“Tunjang itu adalah untuk memastikan persekitaran yang bersih dan sihat untuk generasi akan datang serta menyokong inisiatif Malaysia mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030″.

“Oleh demikian, hasil program ini pastinya akan menyumbang kepada tonggak utama itu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian saya untuk memerangi perubahan iklim melalui kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Zon Kuching dan Samarahan di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Sim turut menekankan pelbagai program pendidikan amalan 3R dalam kalangan masyarakat perlu diperkasakan sebagai usaha memberi kesedaran kepada mereka terhadap perlindungan alam sekitar dan pengurangan sisa di tapak pelupusan sampah.

Pertandingan Kitar Semula 2022 disertai 111 sekolah iaitu 69 sekolah bagi zon Kuching dan Samarahan, dan 42 sekolah bagi zon Sibu dan Sarikei.

Terdahulu, sekolah-sekolah zon Kuching dan Samarahan berjaya mengumpul 219,375 kilogram barangan kitar semula dalam tempoh enam bulan bermula 1 Mei hingga 28 Oktober 2022.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang dan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datu Antonio Kahti Galis.

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.