31 pemain industri terima Anugerah HRD 2022

Spread the love

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Pencapaian cemerlang dan sumbangan 31 pemain industri dalam pembangunan modal insan telah diberikan pengiktirafan sebagai pemenang Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2022 (HRD 2022), yang berlangsung malam tadi.

Anugerah HRD2022 ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia untuk majikan syarikat besar dengan 17 anugerah dan Anugerah HRD Corp untuk 14 Industri Kecil dan Sederhana (IKS), penyedia latihan dan jurulatih.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, Anugerah HRD merupakan cara terbaik untuk menilai prestasi majikan dan pemain industri, dalam memperkukuhkan usaha pembangunan sumber manusia mereka.

“Wawasan jangka panjang Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju dalam ekonomi, bergantung pada keupayaan kami untuk mengembangkan tenaga kerja dan bakat. Walaubagaimanapun, ini tidak boleh dicapai jika ia hanya dilakukan kerajaan sahaja.

“Setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing dan mengambil  bahagian dalam pelbagai aspek untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan,” katanya ketika merasmikan majlis Anugerah HRD ke-20 2022 itu, di sini.

Sivakumar turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan HRD Corp atas sumbangan dan dedikasi mereka ke arah memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood berkata, anugerah itu memainkan peranan penting dalam membentuk trend dan memudahkan pertumbuhan tenaga kerja dan bakat Malaysia sejak dua dekad lalu.

Shahul berkata, sejumlah 5,508 majikan berdaftar dari dua kategori telah dinilai dan pemenang dipilih oleh hakim selepas semakan selama beberapa bulan, berdasarkan pendekatan inovatif dan  keberkesanan terhadap pembangunan modal insan.

Majlis itu menyaksikan 17 anugerah diberikan kepada pemenang Anugerah Menteri Sumber Manusia dan antara penerima termasuklah 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd; AirAsia Berhad; Alam Flora Sdn Bhd; CIMB Bank Berhad dan CUCKOO International (MAL) Sdn. Bhd.

Manakala, Anugerah HRD Corp diberikan kepada 14 PKS, penyedia latihan dan jurulatih yang telah mencapai standard tertinggi dalam pembangunan modal insan dan antara pemenangnya ialah Aspac Lubricants (Malaysia) Sdn Bhd (bagi kategori majikan); CF Learning Services Sdn Bhd (penyedia latihan) dan Alvin Tan Bok Lim (jurulatih).

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Anugerah HRD 2022 Gala Dinenr telah diperkenalkan HRD Corp di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2001, dan merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada pemain industri yang telah menerajui inovasi dan transformasi modal insan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.