Moga ada sinar yang cerah untuk bayi saya – Sa’adi

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 17 Jan: Bapa kepada seorang bayi istimewa yang dilahirkan tanpa saluran dubur tetap menyimpan hasrat untuk melihat anaknya dapat menjalani kehidupan normal.

Sa’adi Bakar, 45, yang tinggal di Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini berkata, dia dan isterinya, Dinah Abdullah, 35, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan berikrar akan memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada bayi yang dinamakan Nur Muhammad Hasbie itu.

Sa’adi yang bekerja sebagai seorang buruh mengakui, keadaan kesihatan anaknya itu merupakan ujian besar buat keluarganya namun dia tidak boleh patah semangat.

“Gugur air mata saya apabila bayi kami terpaksa menjalani pembedahan pada usia yang sangat muda disebabkan penyakit yang jarang didengari ini,” katanya kepada TVS ketika ditemui baru – baru ini.

Jelas Sa’adi,  anaknya telah menjalani pembedahan pertama apabila perutnya ditebuk dan kini menggunakan beg stoma bagi memudahkannya membuang najis.

 

Nur Muhammad Hasbie. Foto: TVS

Mengimbas kembali saat dia mengesan ‘penyakit’ yang dihadapi anaknya, Sa’adi berkata, selepas isterinya melahirkan Nur Muhammad Hasbie, dia ‘perasaan’ ada sesuatu yang tidak kena mengenai fizikal bayi itu.

“Saya bertanya kepada jururawat sama ada anak saya mempunyai lubang dubur atau sebaliknya,” katanya.

Jelasnya, pertanyaan itu menyebabkan jururawat yang berada di situ terkejut.

“Mereka berpaling sesama sendiri dan kemudian memeriksa di bahagian belakang peha anak saya dan mendapati tidak ada saluran dubur untuk membuang najis,” katanya.

Rawatan berterusan untuk si kecil 

Jelas bapa kepada empat cahaya mata ini, Nur Muhammad Hasbie perlu menjalani pembedahan sekali lagi bagi membetulkan saluran najis namun buat masa sekarang dia dan isterinya yang merupakan seorang suri rumah belum berkemampuan.

“Doktor memberitahu pembedahan bagi membuat lubang dubur bayi hanya boleh dilakukan sekiranya dia benar-benar sihat dan beratnya semakin bertambah,” jelasnya.

Ketika ini katanya, rutin harian seperti memandikan, menyusu bayi serta menyediakan makanan untuk keluarga dilakukan dengan bantuan anak yang lain.

“Cuma untuk memasang beg plastik najis pakai buang pada bahagian perut bayi yang telah ditebuk dilakukan setiap hari kerana ia perlu dipasang dengan teliti,” tambahnya lagi.

Dedah Sa’adi lagi, sebanyak RM500 dibelanjakan untuk membeli beg plastik pakai buang najis setiap bulan.

Katanya, isterinya agak tertekan dengan keadaan itu. 

“Saya harap pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat mengadakan sesi kaunseling kepada keluarga kami,” katanya.

Sa’adi memberitahu, ketika ini juga dia tidak dapat memberi perhatian kepada kerjanya kerana mahu memberi fokus kepada bayinya.

Sa’adi turut memberitahu bahawa anaknya terpaksa menjalani pemeriksaan pada setiap minggu di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Klinik Kesihatan Bahagian Samarahan.

Pasangan ini turut mempunyai tiga lagi anak yang berusia antara 11 hingga 16 tahun.

Bantuan JKM ringankan beban

Sementara itu, isteri Sa’adi, Dinah memberitahu, dia bersyukur kerana menerima bantuan bulanan berjumlah RM300 daripada JKM Kota Samarahan.

Jumlah itu katanya sedikit sebanyak telah meringankan beban yang ditanggung oleh keluarganya.

Berkongsi mengenai masalah kesihatannya pula, Dinah berkata, sebelum ini dia hanya menghadapi masalah mata juling.

“Namun selepas melakukan pembedahan pada 2006 di sebuah hospital di Negeri Sembilan, penglihatan saya tidak dapat dipulihkan malah saya hilang penglihatan,” katanya.

Dinah yang juga bekas atlet Paralimpik Sarawak berkata, di sebalik ujian besar itu, dia tetap bersyukur kerana masih mampu membesarkan anak-anak tanpa mengharap ihsan orang lain.

Sementara itu,  pegawai JKM Bahagian Samarahan, Mohammed Yaakob Morshidi memaklumkan, agensi berkenaan turut memberikan Dinah Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) sebanyak RM150 pada 2011 sehingga 2013.

“Bantuan BTB telah ditukar kepada Bantuan Am sebanyak RM200 bermula Ogos 2013 sehingga 2015.

“Pada 2015, bantuan dinaikkan kepada RM250 selepas kajian semula dibuat,” katanya kepada pemberita di pejabat JKM Bahagian Samarahan, baru-baru ini. 

Pada Ogos 2018 katanya, Dinah telah menerima Bantuan Am sebanyak RM300 sebulan dan kes bantuan telah dilanjutkan sehingga Julai 2024.

“Jumlah keseluruhan bantuan yang telah diterima setakat Disember 2022 adalah sebanyak RM 32,600,” tambahnya.

Sementara itu, beliau turut menimbangkan pemberian Geran Pelancaran JKM kepada keluarga Sa’adi.

“Ini merupakan bantuan kewangan untuk para peniaga memulakan perniagaan. Peniaga yang layak bakal menerima bantuan maksimum RM2,700,” jelasnya lagi.

Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga Saadi, boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 010-3913841.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Islam, bernombor 11040028900277 (Sa’adi Bakar).  -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.