STR fasa satu dikreditkan kepada 8.7 juta golongan B40 mulai esok – PM

Spread the love

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima berdaftar secara berperingkat mulai esok.

Beliau berkata, STR fasa satu itu diawalkan ke Januari berbanding perancangan awal pada Mac ini bagi meringankan beban sara hidup rakyat.

Pembayaran STR itu dibuat mengikut kategori penerima dengan empat juta isi Rumah masing-masing menerima RM300 manakala 1.2 juta warga emas yang tiada pasangan dan 3.5 juta penerima bujang masing-masing menerima RM100.

“Penerima STR di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai atau tiada akaun bank turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama,” kata Perdana Menteri menerusi satu kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai tarikh sama.

Semakan status pembayaran akan dibuka mulai esok (Selasa) dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Dalam pada itu, Anwar berkata, STR itu merupakan penjenamaan semula program bantuan tunai untuk golongan berpendapatan rendah B40 di bawah Kementerian Kewangan yang akan terus ditambah baik.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan menekankan pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas.

Justeru, katanya, kerajaan memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan itu dalam mendepani cabaran kos sara hidup. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.