Masyarakat Cina mula sibuk buat persiapan sambut Tahun Baharu Cina

Spread the love

KUCHING, 16 Jan: Persiapan menyambut Tahun Baharu Cina makin dirasai dalam kalangan masyarakat Cina, khususnya belia yang begitu teruja untuk berkumpul dan menikmati makan malam bersama ahli keluarga serta saudara-mara mereka.

Tinjauan TVS mendapati golongan belia mula sibuk membuat persiapan bagi meraikan Tahun Baharu Cina.

Vince Hwong, 22, berkata, persiapannya tahun ini adalah mengumpulkan kesemua ahli keluarganya untuk datang melawat dan mengadakan makan malam secara besar-besaran.

“Memandangkan keadaan sekarang tidak seperti dalam fasa pandemik, saya fikir adalah lebih baik untuk mengumpulkan semua orang kerana ia dapat mewujudkan memori dan kenangan yang istimewa untuk kita.

“Semua orang akan bergembira, menikmati jamuan hidangan dan setelah itu bermain dengan bunga api,” katanya.

Ang Wei Quan, 22, berkata, dia hanya membeli keperluan yang penting berikutan kenaikan harga barang pada masa ini.

“Keluarga saya tidak menyambut Tahun Baharu Cina tahun ini kerana masih bimbang pandemik COVID-19 dan masih terdapat lagi kes-kes baharu, jadi kami perlu berhati-hati.

“Hampir semua orang turut terjejas dengan kenaikan harga barang kerana setiap kali tibanya musim perayaan, harga kuih-muih, air dan sebagainya pasti meningkat,” tambahnya lagi.

Walaupun begitu, dia masih tetap mematuhi adat dan tradisi untuk Tahun Baharu Cina, dengan menggunakan pakaian berwarna merah dan terang untuk melambangkan kemakmuran dan nasib baik.

Bagi Amanda Sim, 26, dia percaya bahawa dengan menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina, masyarakat perlu memakai pakaian yang baharu juga.

“Menjelang perayaan Tahun Baharu Cina setiap tahun, saya akan membeli pakaian baharu untuk kegunaan beberapa hari, kemudian menghias kuku serta mendandankan rambut.

“Akan tetapi, keadaan ekonomi sekarang tidak begitu baik, jadi saya memutuskan untuk melakukan penjimatan dengan membeli pakaian ‘preloved’ tahun ini,” ujarnya.

Tahun Baru Lunar, juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina, mengalukan kedatangan tahun Arnab yang bermula pada 22 Januari 2023. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.