Bekas anggota polis simpan ganja lebih RM1.13 juta dicekup

Spread the love

GEORGE TOWN, 16 Jan: Seorang bekas anggota polis dan isterinya merupakan antara tiga individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Jalan Bendahari, Penaga dekat sini kelmarin.

Pada operasi bermula pukul 7.30 malam itu, polis turut merampas 453 ketulan mampat daun kering berbalut kertas berwarna keemasan disyaki ganja seberat kira-kira 451.9 kilogram (kg) bernilai lebih RM1.13 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, serbuan bermula apabila pasukannya menahan bekas anggota polis berusia 33 tahun itu di hadapan rumahnya bersama 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 10.16 kg.

Ujarnya, suspek dipercayai mahu menuju ke satu lokasi sambil membawa dadah bernilai RM25,000 yang diletakkan di bawah tempat duduk motosikal.

“Hasil serbuan itu, polis kemudiannya menyerbu rumah suspek dan menahan isterinya berusia 33 tahun bersama 443 ketulan mampat disyaki ganja seberat 441.7 kg yang ditemui di dalam bilik.

“Seterusnya, kita berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 42 tahun yang merupakan dalang utama kegiatan itu di kawasan berdekatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, suspek dipercayai menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis.

“Suspek pernah bekerja di sebuah balai polis di Terengganu sebelum dipecat pada 2018, manakala isterinya bekerja kilang.

Sementara itu, Mohd. Shuhaily memberitahu, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan mula bergiat aktif memasarkan ganja di kawasan sekitar sejak awal tahun lalu.

“Hasil semakan mendapati seorang suspek positif dadah manakala dua lagi negatif.

“Polis turut menyita tiga buah kereta bernilai RM345,000, dua buah motosikal (RM34,500) dan wang tunai bercampur-campur bernilai RM37,000,” katanya.

Ujar beliau, suspek direman selama seminggu sehingga Jumaat depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.