Badminton: Chong Wei sumber inspirasi Axelsen

Spread the love

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Berada pada kelas tersendiri, kedudukan Viktor Axelsen sebagai perseorangan nombor satu dunia kini sukar digugat, namun pemain Denmark itu mengakui perjalanan masih jauh untuk beliau menyamai pencapaian Datuk Lee Chong Wei.

Axelsen, 29, yang mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia semalam, yang juga gelaran ke-27, berkata, beliau diinspirasikan oleh kehandalan Chong Wei dan berharap untuk menyaingi rekod pemain legenda itu dalam memenangi 46 gelaran Super Series (kini dikenali sebagai Jelajah Dunia).

“Saya sangat gembira dapat meletakkan nama saya dalam senarai (pemenang) dan saya sangat terinspirasi dengan pemain-pemain seperti Chong Wei. Beliau seorang suri teladan yang hebat, saya mengagumi dan cuba melakukan sebaik beliau,” katanya kepada pemberita selepas meraih gelaran Terbuka Malaysia keduanya.

Juara bertahan Olimpik dan kejohanan dunia itu muncul pemain Eropah pertama mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia selepas menewaskan pemain muda Jepun Kodai Naraoka 21-6, 21-15 dalam masa 40 minit di Arena Axiata.

Axelsen dalam nada gurauan berkata: “Saya gembira Chong Wei telah berhenti bermain kerana beliau menguasai arena di sini,” katanya merujuk kepada kekalahannya pada Terbuka Malaysia edisi 2013, 2016 dan 2018.

Axelsen memenangi Terbuka Malaysia tahun lepas iaitu 10 tahun selepas penampilan sulungnya pada 2012, sekali gus mengakhiri 15 tahun dominasi pemain Asia dalam kategori perseorangan lelaki.

Sebelum itu, rakan senegara Axelsen, Peter Gade, meraih kejuaraan pada 2007.

Chong Wei merupakan ‘Raja Terbuka Malaysia’ dengan 12 gelaran, termasuk kemenangan tujuh tahun berturut-turut dari 2008 hingga 2014.

Bagaimanapun, pemenang tiga kali perak Olimpik itu mengumumkan persaraan pada Jun 2019 berikutan kanser hidung yang dihidapinya, justeru menamatkan 19 tahun perjalanan gemilang kariernya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.