KUCHING, 15 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis Sarawak berupaya mencapai sasaran hasil pendapatan negeri berjumlah RM11 bilion tahun ini.
“Jumlah paling tinggi yang kita peroleh pada tahun 2018 ialah antara RM4 bilion hingga RM5 bilion sahaja. Selepas tahun 2018 hingga sekarang hasil pendapatan negeri semakin meningkat, ini merupakan sebab mengapa kita menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak.
“Dana ini merupakan dana bagi semua rakyat Sarawak. Oleh itu, kita harus menguruskan wang dan pelaburan secara berhemah dan menyimpan untuk masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pembukaan Rasmi Kampung Budaya Bidayuh (BCV), Gawai Bandi Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak(Redeems) 2023 dan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Redeems di Redeems Centre Kampung Apar Singai di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, Sarawak mampu menjadi wilayah maju menjelang 2030 seiring Singapura yang muncul negara yang maju dalam bidang ekonomi di rantau Asia.
“Walaupun Singapura tidak mempunyai sebarang hasil sumber semula jadi berbanding Sarawak, namun mereka (Singapura) mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi.
“Sarawak mempunyai hasil sumber yang mampu membangunkan ekonomi namun kita hanya ‘tersangkut’ di tahap pengetahuan,” katanya.
Memetik contoh mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew berjaya mengubah Singapura yang asalnya tempat berpaya menjadi sebuah negara yang maju, Abang Johari yakin dengan berbekalkan pengetahuan dan perpaduan, Sarawak mampu bangkit dan menjadi negeri yang berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Pada majlis itu Abang Johari turut menyerahkan cek berjumlah RM3 juta kepada Presiden REDEEMS, Datuk Peter Nansian Ngusie bagi menyokong usaha yang dilakukan oleh REDEEMS. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.