MCOPA cungkil bakat anak Sarawak ke pentas dunia

Spread the love

KUCHING, 15 Jan: Malaysia Championship Of Performing Arts (MCOPA) terus mencungkil bakat – bakat tempatan termasuk di Sarawak untuk diketengahkan ke peringkat dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Dayang Mariana Abang Bolhasan berkata, mereka yang terpilih akan dibawa ke World Championship of Performing Arts (WCOPA) yang merupakan pertandingan seni bertaraf olimpik yang berlangsung di Hollywood, Amerika Syarikat.

“Setiap tahun kita akan membawa bakat-bakat Malaysia bertanding dalam pelbagai cabang seni di sana,” katanya.

Dayang Mariana berkata demikian ketika ditemui pada hari terakhir Uji Bakat Pencarian Malaysia Championship Of Performing Arts di di sini, hari ini.

Kata Dayang Mariana, MCOPA juga berfungsi sebagai sebuah platform kepada bakat tempatan yang bercita-cita tinggi untuk menonjolkan kemahiran mereka dalam bidang seni persembahan kepada dunia sambil mempelajari dan mewujudkan perhubungan bersama selebriti terkenal di Amerika Syarikat.

“Saya bagi contoh, dahulu kita pernah bawa Aina Abdul ke sana, dulu dia macam tidak ada apa-apa namun sekarang Aina sudah menjadi artis terkenal di Malaysia.

“Inilah yang kita mahu lakukan untuk Sarawak,”katanya.

Malaysia Championship Of Performing Arts telah disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Sarawak menerusi Majlis Seni Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.