Hospital Limbang diiktiraf sebagai Hospital Berpakar Minor

Spread the love

LIMBANG, 15 Jan: Usaha lebih agresif sedang dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyediakan pelbagai kemudahan perubatan termasuk menempatkan pakar perubatan sejajar dengan peranan hospital Limbang sebagai Hospital Berpakar Minor.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menjelaskan Hospital Berpakar Minor itu bakal mempunyai lapan kepakaran perubatan menjelang Jun tahun ini.

Malah katanya, kerajaan turut mengiktiraf hospital Limbang sebagai Hospital Berpakar Minor dengan melaksanakan projek pembinaan kompleks hospital berpakar itu di kawasan yang bakal menempatkan klinik kesihatan selain kemudahan perubatan lain.

“Kementerian telah mengiktiraf hospital Limbang sebagai Hospital Pakar Minor, dengan adanya enam orang pakar, Insya Allah pada bulan Jun akan datang pakar tulang atau ortopedik.

“Kita berterima kasih kepada KKM kerana meluluskan kehadiran pakar-pakar ini. Dari segi kemudahan pula, pada tahun lepas telah pun dibina empat buah Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi orang dewasa dan kita juga menerima peruntukan berjumlah RM5 juta untuk membina NICU (neonatal) , iaitu ICU untuk bayi,” katanya ketika ditemui TVS selepas Majlis Apresiasi Hospital Limbang 2022 malam tadi.

Beliau juga berkata, lagi kompleks hospital berpakar itu terpaksa dibina di kawasan sedia ada kerana ketiadaan kawasan dan tapak tanah yang berdekatan untuk membina kemudahan tersebut.

“Walaupun bangunan-bangunan pakar belum dapat dibina disebabkan kekangan kawasan tanah, ia bergantung kepada pembinaan klinik kesihatan , klinik kesihatan yang mana kawasannya telah pun ada cuma menunggu kelulusan peruntukan dan ini dimasukkan dalam rolling plan keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RM Ke-12).

“Peruntukan bagi Klinik Kesihatan Limbang diharap dapat diluluskan dan apabila diluluskan nanti keluasan tanah untuk kompleks pakar ini akan mencukupi di kawasan hospital yang ada sekarang,” jelas beliau lagi.

Kata beliau lagi, Hospital Berpakar Minor Limbang juga akan mempunyai enam perkhidmatan pakar perubatan menjelang Jun tahun ini.

“Pada bulan Jun ini kita akan mepunyai lapan perkhidmatan pakar iaitu, pakar kanak-kanak, pakar perubatan, pakar psikiatri, pakar sakit puan, pakar radiologi, pakar bedah, pakar bius dan pakar tulang.

“Ini bermakna kes-kes yang tidak besar akan dapat dilakukan pengubatannya sama ada perubatan ataupun pembedahan dibuat di hospital Limbang tanpa merujuk ke Miri atau hospital lain dan juga kita sebagai hospital rujukan kepada klinik-klinik kesihatan yang berdekatan dan juga hospital Lawas,” ujarnya lagi.

Hadir sama pada program itu ialah Pengarah Hospital Limbang, Dr Syed Satahkatulah Mohamed Kalik dan Pegawai Kesihatan Bahagian, Dr Norliza Jusoh.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.