Ekonomi Sarawak kukuh, turut diperakui Perdana Menteri – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 15 Jan: Ekonomi Sarawak pada masa sekarang cukup kukuh hasil keupayaan kerajaan negeri menjana pendapatan yang stabil, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, perkara itu turut diperakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan hasratnya untuk membuat pinjaman kewangan dari Sarawak.

“Datuk Seri Anwar menghubungi saya untuk mempelawa sarapan bersama selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri. Beliau (Anwar) secara berseloroh memberitahu telah diberi taklimat berhubung dengan keadaan kewangan negara yang teruk dan hutang yang banyak.

“Walaupun berseloroh dengan kata lainnya, Kerajaan Persekutuan mengiktiraf ekonomi Sarawak berada dalam keadaan yang kukuh,” katanya ketika berucap di Majlis Pembukaan Rasmi Kampung Budaya Bidayuh (BCV), Gawai Bandi Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak(Redeems) 2023 dan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Redeems di Redeems Centre Kampung Apar Singai di sini, malam tadi.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, keupayaan mencapai ekonomi yang kukuh itu tidak dicapai dengan mudah kerana perlu melalui perjuangan untuk mendapatkannya.

“Pendapatan negeri yang stabil diperoleh melalui pengenalan ekonomi baharu serta perjuangan pemimpin Sarawak berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita terpaksa pergi ke mahkamah untuk mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) termasuk Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) yang mesti wujud bersama.

“Dengan itu kita ada hak untuk menjalankan aktiviti perlombomgan terhadap sumber-sumber mineral di luar pesisir, ini akan menambahkan pendapatan wilayah melalui hidrogen dan penyimpanan karbon,” ujarnya.

Menyentuh mengenai Redeems, katanya, ia merupakan simbol perpaduan bagi kaum Bidayuh.

“Inilah sebab mengapa saya bersetuju untuk menubuhkan Agensi Pembangunan Bersepadu Bahagian Kuching.

“Ia mencerminkan kepada dasar yang dilaksanakan bagi menyelaraskan pembangunan projek-projek yang diluluskan di sekitar Kuching,” jelasnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.