Rebut peluang pengiktirafan dunia dalam sektor Gastronomi – Abang Abdul Karim

Spread the love

KUCHING, 14 Jan: Pemain industri terutamanya dalam bidang perniagaan perlu merebut peluang dalam sektor Gastronomi dalam mempromosikan makanan tempatan yang telah menjadi identiti unik di Sarawak.

Menurut Pengerusi Business Events Sarawak (Biro Konvensyen Sarawak), Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Abang Openg, ia adalah satu penghormatan yang tinggi buat bandaraya Kuching kerana menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Bandaraya Kuching merupakan salah satu daripada 30 bandar di dunia yang tersenarai telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Rangkaian Bandar Kreatif Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik.

“Jadi, ini adalah pengiktirafan dunia kepada apa yang kita mampu tawarkan, jadi manfaatkan sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan Majlis Pembukaan Besar-Besaran Restoran Kapitan di sini hari ini.

Baca artikel berkaitan: Restoran Kapitan saji masakan Baba dan Nyonya pertama di Sarawak

Pada masa yang sama, Sarawak bertuah kerana menjadi contoh kepada negeri-negeri lain sebagai negeri yang paling stabil dalam politik serta mampu menjana pendapatan sendiri.

“Melihat pada masa depan Sarawak, kita sangat bertuah kerana dari segi politik, kita adalah negeri paling stabil di Malaysia dan tadi saya melihat di televisyen bahawa Sarawak dan Sabah bukan lagi negeri, ia kini diiktiraf sebagai wilayah.

“Dari segi kewangan, kita mampu membelanjakan wang dalam sektor yang kita rasa boleh menjamin masa depan Sarawak terutamanya bidang teknologi di mana kita kini terlibat dalam ekonomi digital,” katanya lagi.

Terdahulu, Abang Abdul Karim merasmikan sebuah restoran berkonsepkan makanan Baba dan Nyonya yang pertama di Sarawak iaitu Restoran Kapitan yang terletak di The Emporium Complex.

Dengan pembukaan restoran ini akan mengukuhkan lagi serta membawa impak positif kepada industri makanan dan pelancongan di Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.