Masukkan status wilayah untuk Sabah, Sarawak dalam Perlembagaan – Dr Jayum

Spread the love

KUCHING, 14 Jan: Pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan bagi mengiktiraf atau memberi status wilayah kepada Sabah dan Sarawak, kata Pensyarah Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Datuk Dr Jayum Jawan.

Beliau berkata, ini kerana pengumuman mengenai pertukaran status dari negeri ke wilayah tanpa sokongan perundangan kukuh tidak membawa makna signifikan.

“Apa atau bagaimana Sabah dan Sarawak akan dipanggil, Perlembagaan Persekutuan (buat masa ini) masih melihat, meletakkan dan melayan dua ‘wilayah’ itu sebagai dua dari 13 buah negeri dalam Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah.

Dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2022, Ahmad Zahid berkata, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

Mengulas lanjut, Jayum berkata, semua hak dan keistimewaan bagi Sabah dan Sarawak juga sudah sedia ada dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta terdapat juga yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, setakat ini apa yang diberikan Kerajaan Persekutuan buat Sabah dan Sarawak bukan sesuatu baharu tetapi hanya melaksanakan apa yang sudah ada di dalam MA63 serta Perlembagaan.

“Semua sudah digariskan termasuk kuasa Imigresen. Sebab itu, Sarawak boleh menafikan sesiapa untuk masuk ke kawasannya jika mendapati mereka mengancam keselamatan dan keharmonian.

“Apa yang perlu dilakukan kini ialah agar kuasa itu diperhalusi untuk menyesuaikannya dengan peredaran masa kerana sasaran dulu (1960-an) sudah berubah,” katanya.

Selain itu, katanya, pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak juga sudah jelas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Pada 4 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.

Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun agar jumlahnya lebih munasabah selain bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di kedua-dua negeri diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.  – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.