Kualiti pendidikan di DUN Meradong terus diperkasa

Spread the love

BINTANGOR, 14 Jan: Usaha meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong terus diperhebatkan bagi memastikan warga sekolah di kawasan itu menikmati suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, perkara itu terus diberi penekanan kerana beliau sedar pendidikan mampu menjana sokongan sosial yang positif di samping menjamin masa hadapan generasi muda.

“Saya cuba melakukan yang terbaik untuk membantu sekolah rendah dan menengah bagi semua aliran dengan menaik taraf prasarana sekolah. Saya cuba melengkapkan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu meningkatkan persekitaran sekolah supaya pelajar boleh menikmati persekitaran yang lebih baik. Ini adalah cita-cita terbesar saya,” katanya ketika ditemui TVS selepas menghadiri Majlis Apreasiasi dan Anugerah Kecemerlangan SMK Kai Chung semalam.

Beliau juga berkata, SMK Kai Chung merupakan sebuah institusi pendidikan tersohor yang telah mencipta kecemerlangan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa terutama dalam bidang kokurikulum dan sukan.

“Dalam bidang akademik pula, SMK Kai Chung merupakan antara sekolah terbaik yang mendapat keputusan SPM 2021 cemerlang di daerah Meradong. Justeru, tidak mustahil untuk SMK Kai Chung menzahirkan lebih ramai anak didik yang berketrampilan dan bersahsiah terpuji. Saya cukup yakin dan percaya SMK Kai Chung akan terus meraih kemenangan dari aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah,” katanya lagi.

Majlis Apreasiasi dan Anugerah Kecemerlangan SMK Kai Chung sesi 2022-2023 adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan motivasi murid agar menggapai kecemerlangan dalam semua bidang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.