Kerajaan Sarawak ambil alih bangunan Marina Kuching, jadi ibu pejabat LSS

Spread the love

BAU, 14 Jan: Kerajaan Sarawak bakal mengambil alih bangunan Marina Kuching di bawah kendalian Jabatan Laut Malaysia Cawangan Kuching untuk dijadikan Ibu Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan II (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep, proses mengambil alih adalah secara membeli bangunan tersebut dalam masa terdekat.

“Seperti mana yang telah dibincang bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke proses itu akan dipercepatkan. Penilaian sudah dibuat untuk bangunan tersebut membabitkan berapa kos yang perlu dibayar oleh Kerajaan Sarawak kepada pihak Persekutuan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pertandingan Dayung Sikora sempena Majlis Pembukaan Rasmi Kampung Budaya Bidayuh dan Ulang Tahun Redeems ke-25 di Dewan Datuk Peter Nansian, Kampung Apar, Bau, pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan anggaran kos yang bakal dibelanjakan kerana proses perundingan antara dua kerajaan masih perlu dilaksanakan.

“Sudah tentu ada kos yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei namun kita tunggu pengumuman dulu sebab pihak Kerajaan Persekutuan akan berunding lagi dengan pihak kerajaan negeri berkaitan nilai yang sepatutnya untuk kita mengambil alih bangunan tersebut,” ujarnya lagi.

Tambahnya, setelah proses mengambil alih selesai, bangunan tersebut akan menjadi hab LSS dan tidak lagi menyewa bangunan seperti pada ketika ini.

Pada Rabu, delegasi Kementerian Pengangkutan Sarawak yang diketuai Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin mengadakan kunjungan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke di Putrajaya.

Dalam lawatan tersebut, Lee diiringi dua timbalannya Dato Dr Jerip Susil (Penerbangan dan Jalan Raya) dan Dato Henry Harry Jinep (Sungai dan Laut) serta penasihat Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) Dr Lawrence Tseu serta pegawai lain.

Antara intipati lain perjumpaan terbabit, Henry berkata, pihaknya turut memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengalih atau membuang bangkai-bangkai kapal yang tenggelam di perairan Sarawak bagi memberi kemudahan keselamatan kepada kapal-kapal lain.

“Yang ketiganya, kita menginginkan satu sistem untuk mengesan mana-mana kapal yang masuk ke kawasan perairan kita sepanjang 1,000 kilometer. Sistem ini telah ada cuma LSS perlu melanggan dari pihak Marin,” jelasnya lagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.