Ditahan selepas 15 minit aksi kejar-mengejar

Spread the love

SIBU, 14 Jan: Takut ditangkap khalwat menjadi alasan seorang lelaki dan teman wanitanya menaiki sebuah kenderaan yang berjaya diberkas sepasukan polis selepas aksi kejar-mengejar di sini, malam tadi.

Kenyataan akhbar kes lari dari pemeriksaan polis sehingga membahayakan nyawa anggota bertugas. Foto: IPD Sibu

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun dan wanita 18 tahun merupakan warga tempatan berjaya ditahan kira-kira 15 minit kemudian di Jalan Quary.

Dedahnya, insiden itu berlaku apabila sepasukan empat anggota dari pasukan cegah jenayah Balai Polis Sentral Sibu sedang membuat pemeriksaan sebuah kereta jenis Toyota Innova di kawasan parkir Jalan Law King Howe pada jam 9.15 malam tadi.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai polis, secara tiba-tiba pemandu kenderaan itu telah mengundurkan kenderaan beberapa kali sehingga melanggar kenderaan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, keadaan itu telah menjuruskan berlakunya aksi kejar-mengejar dengan dibantu oleh pasukan kereta peronda MPV serta unit bermotosikal polis trafik sehingga kenderaan berjaya diberhentikan di Jalan Quary.

“Dalam drama kejar-mengejar itu, kenderaan yang dipandu suspek turut melanggar lampu isyarat dan sebuah kenderaan orang awam,” katanya.

Menurut Zulkipli, tindakan suspek yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis telah membahayakan nyawa anggota polis yang bertugas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan melanggar anggota yang bertugas,” tambahnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.