Mahkamah Rayuan benar rayuan MAIS, kerajaan Selangor untuk kembali status agama wanita

Spread the love

PUTRAJAYA, 13 Jan: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor hari ini berjaya dalam rayuan untuk mengembalikan status agama Islam seorang wanita berusia 37 tahun.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam membenarkan rayuan MAIS dan kerajaan negeri untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan penukaran agama wanita itu.

Keputusan majoriti itu yang disampaikan secara dalam talian adalah daripada Yaacob dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang memihak kepada MAIS dan kerajaan negeri Selangor manakala Datuk P. Ravinthran memberikan penghakiman bertentangan.

Mohd Nazlan, yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah telah memutuskan bahawa wanita itu masih beragama Islam dan oleh itu ia adalah kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berkata penentuan kehakiman oleh Mahkamah Syariah bahawa seseorang itu masih Islam seperti dalam kes wanita ini, semestinya bermakna dia seorang Islam dan bukannya seorang yang tidak pernah beragama Islam.

Mohd Nazlan berkata mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa semakan kehakiman ke atas Mahkamah Syariah, apatah lagi dalam mengubah atau meminda, membicarakan semula atau menolak keputusan Mahkamah Syariah kerana ia sama seperti melanggar Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 121 (1A) menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan keputusan Mahkamah Syariah adalah salah dan tidak boleh dikekalkan.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam namun pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya. Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

Ravinthran, dalam penghakimannya yang menolak rayuan MAIS dan kerajaan negeri Selangor berkata Mahkamah Tinggi betul dalam memberikan relif yang dimohon oleh wanita itu.

Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu yang penganut Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

Dia berkata ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun, di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992. Pada tahun berikutnya (1993) ibunya berkahwin dengan seorang lelaki Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

Wanita itu mendakwa walaupun dia memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudiannya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam. Dia kemudiannya berjaya mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam pada 4 April tahun lepas.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda mewakili MAIS manakala Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim [email protected] bagi pihak kerajaan negeri Selangor.

Peguam A. Surendra Ananth yang mewakili wanita itu memberitahu media bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya supaya memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.