COVID-19: Pengembara disaring suhu badan di pintu masuk antarabangsa Sarawak

Spread the love

KUCHING, 13 Jan: Semua pengembara yang tiba dari luar negara di pintu masuk antarabangsa (PMA) Sarawak akan melalui proses saringan suhu badan terlebih dahulu sebelum memasuki negeri ini.

Ia sebagai usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaksanakan strategi kesiapsiagaan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 6 Januari lepas.

JPBNS menerusi kenyataan hari ini berkata, pengembara yang dikesan demam atau bergejala dikehendaki mengambil ujian COVID-19 calitan tekak dalam tempoh 48 jam.

“Sekiranya positif, pengembara akan menjalani kuarantin di premis penginapan dan diuruskan mengikut garis panduan pengurusan COVID-19.

“Bagaimanapun, sekiranya pengembara didapati negatif, tetapi bergejala, mereka dinasihatkan untuk memakai pelitup muka terutama apabila berada di tempat orang ramai, perhimpunan atau tempat sesak,” katanya.

Selain itu, JPBNS turut menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi.

JPBNS turut memaklumkan bahawa KKM menawarkan pemberian vaksin secara ‘walk-in’ tanpa perlu membuat janji temu di klinik kesihatan dan hospital KKM bermula 9 Januari 2023.

Kenyataan itu juga menyebut, pemberian rawatan ubat antiviral paxlovid kepada pesakit yang layak juga disediakan kepada pesakit COVID-19 mengikut garis panduan.

Bagi tujuan itu, KKM sentiasa memastikan ketersediaan antiviral di semua fasiliti kesihatan dan Kementerian Kesihatan yang dikenalpasti.

Pada masa sama, masyarakat dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di dalam dan luar negara serta bekerjasama rapat dengan WHO, serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

KKM berkata, kemelut pandemik COVID-19 yang masih panjang memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak.

“KKM menggesa masyarakat untuk memberikan kerjasama dan mengambil tanggungjawab sosial serta memainkan peranan masing-masing untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.