Sarawak kaji tubuh dana pencen untuk penjawat awam negeri

Spread the love

KUCHING, 12 Jan: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji penubuhan dana pencen untuk anggota perkhidmatan awam negeri, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari.

Premier Sarawak itu berkata, ketika ini perkara berkenaan masih di peringkat perbincangan namun asasnya kerajaan negeri mempunyai idea baharu untuk menambah baik keperluan kakitangannya.

Menurut Abang Johari, sebelum dana berkenaan direalisasikan, pelbagai perkara perlu diambil kira termasuk kemampuan kerajaan negeri.

“Ia akan mengambil masa dan masih lagi di peringkat perbincangan.

“Kita akan melihat bagaimana ia dapat dilaksanakan mengikut keadaan semasa,”ujar Abang Johari.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Yang Amat Berhormat Premier Sarawak 2023 di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Abang Johari menambah, Sarawak sebelum ini berjaya menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat negeri yang mana perkembangan itu dijangka akan menyuntik tambahan pendapatan kepada negeri.

“Sekiranya kewangan kukuh, kita boleh lakukan apa sahaja namun perlulah secara berhemah,”katanya.

Dalam pada itu Abang Johari berkata, perkhidmatan awam negeri telah memberi sokongan terhadap Kerajaan Sarawak menerusi kejayaan menyampaikan dasar-dasar kepada rakyat.

“Saya menerima kerjasama yang baik daripada seluruh perkhidmatan awam negeri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.