Negara minoriti Islam berminat pelajari pengurusan TBS – Abang Johari

Spread the love

KUCHING 12 Jan: Pihak berkuasa agama Islam di beberapa negara yang mempunyai penduduk minoriti agama berkenaan berminat untuk mempelajari ilmu pengurusan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, perkongsian kaedah pengurusan yang diamalkan oleh TBS itu dijangka dapat dilakukan pada tahun depan.

“Antaranya negara yang ingin mengikut jejak kita (TBS) ialah Kemboja, China, Hong kong dan selebihnya negara – negara yang mempunyai umat Islam minoriti di Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Agensi-Agensi Islam Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini malam ini.

Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menurut Abang Johari, negara – negara berkenaan yakin dengan pengurusan yang diamalkan oleh TBS dan ingin mempraktikkan kaedah sama.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga mempraktikkan ajaran Islam dalam pentadbiran menerusi pendekatan yang dilaksanakan.

“Ini termasuklah sentiasa menitikberatkan kesejahteraan serta kebajikan rakyat yang bukan beragama bukan Islam.

“Cara Piagam Madinah wajar dijadikan panduan barisan pemimpin beragama Islam dalam mentadbir sesebuah kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, penubuhan institusi di Kuching untuk Ilmu Falaq (Astronomi) bakal menggunakan teknologi terkini seperti yang terdapat di Bintulu, Sibu dan Miri. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.