Kapal kargo dalam perjalanan ke Kuching hilang di perairan Natuna

Spread the love

JAKARTA, 11 Jan: Dua kapal perang (KRI) milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) turut digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang di perairan Natuna, Indonesia.

Ketua Pejabat SAR Natuna, Mexianus Bekabel berkata, dua kapal perang berkenaan ialah KRI Karontang dan KRI Sembilang selain sebuah pesawat turut dikerah terlibat dalam operasi.

“Operasi penuh akan bersambung esok kerana hari ini kita berdepan dengan ombak tinggi. Pihak berkuasa Malaysia juga memberi kepercayaan kepada kita (Indonesia) untuk meneruskan SAR,”katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Menurutnya, pencarian juga akan dilakukan di selatan di Perairan Pemangkat, Kalimantan Barat kerana disyaki berlaku kes perlanggaran membabitkan kapal berkenaan akibat ombak tinggi.

Sebelum ini, pihak berkuasa Malaysia mengesahkan kapal kargo berkenaan yang dikendalikan oleh lima kru termasuk dua rakyat Indonesia berlepas dari Perak pada 23 Disember lepas dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember.

Lokasi terakhir kapal itu dikesan menerusi Sistem Pengenalan Automatik (AIS) ialah pada 1 Januari lepas ketika berada di perairan Indonesia iaitu pada kedudukan 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor.

Maklumat pihak berkuasa Indonesia pula mendedahkan lokasi terakhir kapal yang membawa muatan besi itu dikesan ialah pada kedudukan 42 batu nautika dari Pontianak. -TVS.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.