Autonomi kesihatan kompleks, libat aspek kewangan – Dr. Sim

Spread the love

KUCHING, 11 Jan: Autonomi Kesihatan selari dengan hak di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) adalah sesuatu yang sangat kompleks kerana ia melibatkan aspek kewangan, kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Beliau berkata implikasi kewangan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan negara adalah besar di samping implikasi dari aspek kawal selia perjawatan.

”Dalam setahun, bajet jabatan kesihatan Sarawak adalah RM2.5 bilion (dan) (jumlah) itu tidak mencukupi,” katanya selepas merasmikan seminar Kebersihan Tangan dan Penjagaan Persekitaran Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata satu mesyuarat mengenai autonomi kesihatan itu akan diadakan pada 19 Jan ini.

Menurut beliau, mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengenai pengambilan dos penggalak COVID-19 dalam kalangan rakyat Sarawak, Dr. Sim berkata hanya 10 peratus sahaja yang mengambil dos penggalak kedua.

”Kita tahu, mereka yang mendapat vaksin Pfizer perlu mendapatkan minimum tiga dos, ia wajib. Mereka yang mendapat vaksin Sinovac, kami menasihatkan mereka untuk mendapatkan dua dos penggalak Pfizer, kombinasi terbaik yang boleh dimiliki,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan pengambilan dos penggalak bagi individu berisiko 60 tahun dan ke atas, pesakit kronik, individu mudah mendapat jangkitan teruk COVID-19 (ibu hamil atau penghuni terlantar sakit di hospital) dan individu berusia 18 tahun ke atas.

Kini, suntikan dos penggalak ditawarkan di 1,293 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara iaitu di 104 hospital KKM, 754 klinik kesihatan dan 435 pusat pemberian vaksin (PPV) swasta. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.