Abang Johari lancar tapak pertanian pintar SDEC

Spread the love

KUCHING, 11 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan tapak pertanian pintar milik Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Tapak berkenaan dikenali sebagai SDEC Precision & Discipline Agriculture Facility (PDAF) terletak di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, PDAF merupakan kemudahan pertanian berteknologi tinggi bersepadu pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Netafim untuk rumah hijau dan pertanian di kawasan terbuka.

“Teknologi ini direka khusus untuk kawasan tanah rendah, termasuk kawalan iklim bersepadu dan sistem fertigasi melalui teknologi pertanian tepat bagi ladang pertanian berskala besar dan rumah hijau.

“SDEC-PDAF akan digunakan sebagai rujukan bagi industri pertanian moden lain dan pekebun kecil untuk memastikan kejayaan inisiatif pertanian pintar mereka,”katanya menerusi kenyataan media.

Pelancaran berkenaan turut dihadiri Menteri Ulititi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Julaihi Narawi.

Menurut Mohamad Morshidi, keupayaan untuk menggunakan teknologi dalam pertanian di kawasan ladang terbuka akan memberikan fleksibiliti kepada petani Sarawak untuk menerima pakai teknologi tersebut tanpa perlu mengubah susunan ladang mereka.

“Pelancaran SDEC-PDAF menunjukkan komitmen SDEC untuk memacu inovasi digital dalam industri pertanian dan mengoptimumkan operasi pertanian moden dan keusahawanan di Sarawak dengan matlamat memperkasa dan menyokong operasi pertanian moden dan ekosistem,” katanya.

Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Produk SDEC, Dr. Khairul Hafiz Sharkawi membentang mengenai PDAF kepada Premier Sarawak. Foto: SDEC

Sementara itu beliau turut memberitahu, SDEC-PDAF akan digunakan untuk membangunkan model komersial yang mampan bagi pelaksanaan meluas pertanian pintar.

“Pada masa sama, ia merupakan pelaburan kepada pembangunan bakat petani dan usahawan tempatan.

“Dengan menyediakan latihan dan sokongan dalam teknologi dan amalan terkini, kami berhasrat untuk meningkatkan keupayaan petani supaya lebih berdaya saing,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.