Abang Johari cadang CENTEXS tubuh syarikat teknologi bantu usaha keselamatan makanan

Spread the love

KUCHING, 11 Jan: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan supaya Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) menubuhkan syarikat teknologi bagi menangani isu keselamatan makanan.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, ini kerana perkembangan isu berkenaan di peringkat global turut menjadi cabaran kepada CENTEXS serta agensi berkaitan untuk membantu kerajaan negeri.

“CENTEXS memiliki fasiliti seperti makmal dan lapangan, namun perlu mengkaji ekonomi pertanian terlebih dahulu sama ada masyarakat mampu menerima produk yang dihasilkan dan seterusnya membawa keuntungan kepada syarikat tersebut.

“Secara teknikalnya, saya yakin CENTEXS dan pihak berkaitan dapat melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-7 CENTEXS di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri, Datuk Julaihi Narawi dan Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, tidak mustahil syarikat yang bakal ditubuhkan itu mampu menjadi pembekal makanan kepada Sarawak dan negara luar pada masa akan datang.

Sementara itu, Abang Johari juga menyarankan agar sumber semula jadi di Bumi Kenyalang diuruskan dengan bijak bagi menyokong usaha membendung isu perubahan iklim.

Katanya, sumber semula jadi seperti hidrogen dapat membantu menangani isu pemanasan global selain menjadikannya sebagai antara sumber pendapatan kerajaan negeri.

“Sarawak dikurniakan dengan pelbagai sumber semula jadi namun sekiranya tiada idea untuk memanfaatkannya, ia tidak memberi makna,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.