Malaysia ambil pendekatan positif dan agresif dalam pembangunan Nusantara – Anwar

Spread the love

BOGOR, 9 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terbuka dengan inisiatif sektor swasta dari Malaysia menyumbang dalam pembangunan ibu kota negara (IKN) baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Menurutnya, pemindahan IKN, dikenali sebagai Nusantara, dari Jakarta itu dijangka memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak dalam pembangunan ekonomi kedua-dua negara.

Anwar berkata pentadbiran Sabah dan Sarawak memuji inisiatif besar Jokowi membangunkan Nusantara.

“Kita ambil pendekatan yang positif dan agresif dalam mencari jalan supaya pertumbuhan IKN itu akan juga memberi manfaat kepada wilayah Sarawak dan Sabah,” katanya pada sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Kepresidenan Bogor, hari ini.

Sebelum sidang media, kedua-dua pemimpin menyaksikan penyerahan 11 surat hasrat (LoI) 10 syarikat Malaysia untuk menyertai pembangunan Nusantara.

Mengenai tenaga kerja Indonesia di Malaysia, Anwar berkata pendigitalan sistem pengambilan dan penempatan pekerja sangat penting untuk mengurangkan karenah birokrasi dan penggunaan terlalu banyak agensi.

Beliau berkata agensi pekerjaan perlu menjadi pemudah cara dan tidak mengambil untung berlebihan hingga menekan pekerja.

“Penyelesaian masalah harus lebih menyeluruh supaya nasib pekerja di peringkat bawahan dapat dibela. 

“Kita akan menghindari isu-isu yang boleh merenggang dan meretakkan hubungan, kerana saya mahu hubungan Malaysia-Indonesia itu kekal istimewa,” katanya.

Anwar berkata isu sempadan antara Malaysia-Indonesia tidak sulit dan kerajaan komited untuk menelitinya bersama jemaah menteri dalam masa terdekat.

“Ia hanya memerlukan satu tekad yang jelas dan insya-Allah dalam masa terdekat saya akan bawa ke jemaah menteri,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.