Hospital Petra Jaya dijangka beroperasi 2025 – Lukanisman

Spread the love

KUCHING, 8 Jan: Hospital Petra Jaya yang sedang dalam pembinaan dijangka akan mula beroperasi pada 2025, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Kata beliau, kemajuan projek berkenaan ketika ini sudah mencecah 51 peratus dan dijangka akan siap pada tahun depan.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru pihak yang bertanggungjawab melaksanakan projek berkenaan supaya sentiasa memantau perkembangannya.

“Kita yakin bahawa projek ini dapat disiapkan pada 25 November 2024 dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

“Harapan saya ialah supaya tidak berlaku lagi perkara yang tidak diingini seperti pandemik atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKR) mengejut yang boleh menjejaskan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak projek berkenaan hari ini.

Selepas siap kelak, Hospital Petra Jaya bakal menjadi hospital kedua terbesar di Sarawak.

Sementara itu, Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, pembinaan hospital berkenaan kini sudah mendahului jadual sebanyak 1.63 peratus selepas diambil alih oleh kontraktor penyelamat pada penghujung 2021.

Projek hospital lapan tingkat yang dibina di kawasan seluas 41 ekar itu turut bakal mempunyai kemudahan parkir kereta sebanyak 1569 dan 1283 parkir motosikal.

Projek itu mula dilaksanakan pada 30 Mei 2013 dan sepatutnya siap 30 Jun 2018 namun kontraktor asal gagal menyiapkannya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.