Bakal haji Sarawak bersyukur, ‘impian jadi kenyataan’

Spread the love

SARIKEI, 8 Jan: Bakal jemaah haji Sarawak yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah tahun ini menzahirkan rasa syukur kerana impian mereka akhirnya menjadi kenyataan.

Ada di antara mereka tidak dapat menahan sebak sambil menganggap peluang yang diperoleh sebagai sumber kekuatan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

Roslan Awang, 70. Foto: TVS

Bagi bekas Pensyarah Maktab Perguruan Rajang, Roslan Awang, 70, menyifatkan penantiannya selama 12 tahun sebagai tidak sia-sia.

“Saya berasa sangat teruja. Sekarang ini pun, saya berasa sebak kerana setelah lama menunggu akhirnya dicalonkan untuk menyertai rombongan haji terutamanya dari kawasan Sarikei ini selepas berlakunya pandemik COVID-19 ini pada usia saya sudah menjangkau 70 tahun ini. Saya berasa terharu kerana setelah lama menunggu hari ini baru dicadangkan pergi bersama isteri saya,” katanya ketika ditemui TVS semalam.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada 75 orang peserta yang menyertai Kursus Praktikal Haji anjuran Jawatankuasa Pengurusan Ar Rahmah dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Fatimah Adenan, 62. Foto: TVS

Sementara itu, Fatimah Adenan, 62, dari Nyabor, Kabong pula berkata, kunjungan keduanya ke Tanah Suci Mekah kali ini, sebagai sesuatu yang amat istimewa.

“Perbezaan dari tahun pertama saya pergi menunaikan haji, tahun ini kursus asasnya lebih terperinci yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH). Tahun pertama saya terpilih untuk pergi menunaikan ibadah haji, saya menganggapnya anugerah daripada Allah SWT. Alhamdulillah tahun ini saya berpeluang sekali lagi untuk menunaikan ibadah haji dan saya mengganggapnya peluang yang istimewa,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.