Media harus baiki penyampaian maklumat bagi generasi muda – Anwar

Spread the love

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Media sosial dan media arus perdana harus diperbaiki dari segi penyampaian maklumat atau fakta, agar ia sampai kepada golongan generasi muda di negara ini bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan trend negatif di media sosial.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun kadang-kala generasi muda terpengaruh dengan trend di media sosial, namun beliau yakin pemikiran golongan itu mungkin akan berubah jika berjaya menghadam kenyataan sebenar dengan bantuan media.

“Generasi muda ini anak-anak kita, kalau dia tidak dengar, ada kelemahan…kita tidak sampaikan dengan baik, umpamanya soal kaum dan agama. Itu sebahagiannya sahaja.

“Jangan kita runsing sangat, ini hanya episod sementara,” katanya dalam temu bual Naratif Khas Bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Anwar berkata melalui perjumpaan bersama anak-anak muda, beliau mendapati golongan itu dahagakan fakta, perubahan dan mahukan nasib mereka terbela.

Sementara itu, Anwar bersetuju bahawa peranan media di negara ini tidak boleh diremehkan, walaupun terdapat trend media sosial yang lebih berkesan.

Beliau berkata media bukan hanya saluran bagi kerajaan atau pemimpin negara untuk menyampaikan maklumat, sebaliknya ia juga platform bagi mendapatkan maklumat kegelisahan dan kritikan rakyat bagi membantu negara.

“Saya tidak ada masalah (dengan keterbukaan media), bahkan di Parlimen, orang (Ahli Parlimen) menyanggah, saya mendengar. Cuma apabila dia menjadi racun di bibir, menjadikan tempat itu menggempurkan maki hamun, gunakan nama Islam dan dakwah, kita kena jaga juga perbedaannya,” katanya.

Selain ekonomi, teknologi dan digital, Perdana Menteri berkata budaya dan sastera yang dimiliki oleh media dan para wartawan juga amat penting dalam kehidupan manusia dan pembangunan negara. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.