Shamie Iszuan teruja bantu Malaysia ke separuh akhir Piala AFF 2022

Spread the love

PETALING JAYA, 6 Jan: Pemain kelahiran Kuching, Sarawak, Nur Shamie Iszuan Amin menyifatkan peluang beraksi bersama pasukan Malaysia dalam Piala AFF 2022 merupakan pengalaman menakjubkan dalam kariernya.

Pemain sayap berusia 28 tahun itu berkata, dia juga teruja apabila diturunkan ketika Malaysia membelasah Laos 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember lepas.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya itu berkata, perlawanan berkenaan merupakan kali pertama dia bermain di hadapan puluhan ribu penyokong Malaysia di Bukit Jalil.

“Sebenarnya saya berasa agak berdebar namun teruja dan Alhamdulillah dapat jalankan tugas sebagai pemain,” katanya kepada TVS semalam.

Berkenaan aksi separuh akhir pertama menentang Thailand esok, bekas pemain pasukan remaja kebangsaan berkata, dia dan rakan sepasukan bertekad untuk menampilkan aksi terbaik ketika melayan kunjungan juara enam kali Piala AFF itu.

“Persiapan pasukan setakat ini berjalan lancar. Selepas perlawanan menentang Singapura, kami diberikan cuti rehat sehari dan hari ini (semalam), kita menyambung latihan dan akan mengikut corak taktikal yang ditetapkan jurulatih, yang pasti kami akan berikan yang terbaik,” katanya.

Skuad negara yang dikendalikan Kim Pan Gon layak ke separuh akhir Piala AFF 2022 selepas menewaskan Singapura 4-1 pada Selasa lepas.

Untuk rekod, ketika dibimbing Datuk K. Rajagobal muncul juara kali pertama pada 2010 dengan menewaskan Indonesia.

Sementara itu, Nur Shamie Iszuan mengesahkan akan menyertai pasukan baharu untuk kempen Liga Super 2023 selepas kontraknya bersama Sarawak United FC tamat.

“Buat masa sekarang, biarlah saya rahsiakan dahulu pasukan baharu itu namun yang pasti saya akan mewakili pasukan di Semenanjung Malaysia,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.