Laluan masuk sementara ke Vista Perdana dijangka siap sebelum Tahun Baru Cina

Spread the love

MIRI, 6 Jan: Pembinaan laluan masuk sementara ke Vista Perdana yang sepatutnya siap pada bulan lepas, terpaksa dipanjangkan dan dijangka akan siap sebelum Tahun Baru Cina.

Hal ini disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu dari bulan lepas sehingga sekarang yang melambatkan proses pembinaan jalan tersebut.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata setakat ini jalan laluan masuk sementara ke Vista Perdana itu telah siap sekitar 50 peratus dan sekiranya cuaca terus tidak menentu, projek ini kebarangkalian akan mengambil masa yang lebih lama untuk disiapkan.

“Jalan ini sedang dibina dan ikut kemajuan pembinaannya, ialah 50 peratus. Oleh sebab cuaca yang kurang baik pada hujung tahun sampai sekarang maka, pelaksanaan projek pembinaan ini tidak dapat mengikut jadual sebab keadaan cuaca.

“Syarikat Naim Cendera akan berusaha untuk menyiapkan jalan ini dengan secepat mungkin tertakhluk kepada cuaca. Kalau cuaca baik, boleh siap sebelum Tahun Baru Cina. Kalau cuaca seperti ini, memang tidak dapat kerana kita perlukan masa yang lebih panjang lagi,” katanya demikian semasa melawat tapak pembinaan jalan masuk sementara ke kawasan Vista Perdana.

Jelas beliau lagi, jalan tersebut dibina buat sementara waktu bagi menunggu projek pembangunan perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Fasa 3 pada masa akan datang.

“Mengikut pelan perancangan di kawasan sini, pada masa akan datang ada jalan yang boleh masuk ke Vista Perdana iaitu daripada pembangunan perumahan (SPNB) Fasa 3. Projek itu belum bermula jadi jalan itu belum dibina. Sebab itulah untuk sementara waktu, setelah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syarikat Naim Cendera, kita telah membuat keputusan untuk membuat satu jalan sementara yang mereka boleh gunakan untuk balik ke Vista Perdana dari Pujut-Bypass,” katanya lagi.

Laluan sehala jalan masuk ke Vista Perdana ini dibina 14 meter panjang dengan 5.5 meter lebar dan anggaran kos sebanyak RM325,000.

Laluan tersebut dibina untuk kemudahan penduduk masuk ke kawasan Vista Perdana terutamanya yang datang dari jalan Pujut-bypass. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.