Geran khas: Manfaat pembangunan di Sabah, Sarawak

Spread the love

KUCHING, 6 Jan: Keputusan kerajaan Persekutuan untuk menyemak jumlah pemberian peruntukan menerusi geran khas kepada Sabah dan Sarawak adalah wajar bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan seimbang.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata perkara yang termaktub di bawah Perkara 112D, Perlembagaan Persekutuan itu sudah lama tidak disemak.

“Ini sangat wajar supaya perkara ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi TVS pada Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu bahawa kerajaan Persekutuan akan memastikan terdapat peningkatan jumlah peruntukan yang munasabah menerusi geran berkenaan.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar dilihat komited berhubung hal ehwal Sabah dan Sarawak dalam memastikan kedua-dua negeri berkenaan mendapat pembangunan lebih baik.

Beliau menyifatkan semakan semula geran khas merupakan perkembangan baik dalam mengeratkan lagi hubungan negeri dan persekutuan.

“Keputusan membuat semakan jumlah pemberian geran khas adalah satu perkembangan yang positif dan tindakan yang baik dilakukan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.