Agong berkenaan solat Jumaat di Masjid Abu Bakar

Spread the love

CAMERON HIGHLANDS, 6 Jan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Abu Bakar di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 1.25 tengah hari di masjid itu disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Turut hadir, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor.

Khutbah khas Jumaat bertajuk ‘Integriti Dalam Pekerjaan’ disampaikan Kadi Cameron Highlands Mohd Khalil Mohd Zari Al Hafiz yang turut mengimamkam solat Jumaat terdiri daripada kira-kira 800 jemaah.

Mohd Khalil dalam khutbahnya mengajak jemaah supaya bersama-sama mempertingkatkan integriti iaitu bersifat jujur, telus dan amanah yang bermaksud seseorang yang sentiasa suka melakukan amalan yang baik untuk mencapai keredaan Allah Taala dan Rasulullah.

Selesai solat Jumaat, Al-Sultan Abdullah berkenan bersalaman dengan jemaah dan mengurniakan sumbangan peribadi dan keperluan harian daripada Majlis Ugama Islam serta Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada seramai 61 asnaf di pekarangan masjid berkenaan.

Baginda kemudian berangkat meninjau kawasan banjir dan majlis pengurniaan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Baru, Kampung Raja yang terletak kira-kira 21 kilometer dari masjid berkenaan.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.