Penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 mudahkan urusan tuntutan hak Sarawak

Spread the love

KUCHING, 5 Jan: Penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dilihat sebagai satu inisiatif yang akan memudahkan lagi urusan perbincangan tuntutan hak Sarawak yang terkandung dalam MA63 secara terperinci.

Malah menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, penubuhannya juga akan mempercepatkan urusan mendapatkan kembali hak-hak Sarawak.

“Kita yakin dengan penubuhan ini, ia adalah sesuatu yang baik dan akan memudahkan serta mempercepatkan segala urusan perbincangan secara terperinci untuk kita (Sarawak) mendapatkan kembali hak-hak kita.

“Ia sepatutnya diadakan untuk memudahkan tatacara dalam mendapatkan kembali hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika ditemui di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut yakin, lebih banyak tuntutan dapat dilaksanakan menerusi kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seterusnya boleh membawa Malaysia bergerak ke hadapan.

“Saya yakin, dengan pimpinan Anwar maka banyak lagi tuntutan-tuntutan kita dan MA63 dapat dilaksanakan selain beliau akan terus berbesar hati mengadakan polisi yang terbuka untuk mendengar dan memenuhi tuntutan kita yang munasabah demi kesejahtearaan Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sharifah Hasidah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Anwar berhubung penambahbaikan peruntukan khas kepada Sarawak dan Sabah.

“Sejak dahulu lagi,sama ada dari segi jumlah yang sesuai, kita sebenarnya telah memberi cadangan kepada kerajaan Persekutuan mengenai satu formula khas.

“Persetujuan berhubung perkara ini akan dibincangkan oleh Perdana Menteri bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor,” tambahnya lagi.

Pada Rabu, Anwar berkata kerajaan Persekutuan akan memastikan terdapat peningkatan jumlah munasabah dalam peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.