Berkuasa lulus projek bawah RM50 juta, pembangunan Sarawak lebih efisen

Spread the love

SARIKEI, 5 Jan: Penurunan kuasa kepada Sarawak untuk melaksanakan projek pada kadar RM50 juta disifatkan sebagai langkah terbaik dalam meneruskan kelangsungan pembangunan negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata langkah itu berupaya membolehkan pelaksanaan projek tertentu dilaksanakan dengan lebih efisien.

“Selama ini memang kita sudah menunggu pendekatan seperti yang telah kita tekankan sebelum ini kerana rakyat Sarawak yang lebih mengetahui mengenai negeri Sarawak,

“Oleh sebab itu, dengan pengumuman yang telah dibuat Perdana Menteri untuk menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek yang kurang daripada RM50 juta ini demi kelangsungan atau pelaksanaan projek ini secara lebih efisien lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Sarikei, hari ini.

Beliau optimis pengumuman itu adalah sebagai permulaan positif ke arah yang lebih baik terutama dalam konteks pembangunan Sarawak dalam tempoh jangka panjang.

Tambahan pula katanya, banyak projek yang di bawah kuasa kerajaan Persekutuan perlu diberi tumpuan khusus bagi membolehkannya berjalan lancar sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

“Pada masa yang akan datang, kemungkinan peruntukan ini akan ditambahkan lagi, mungkin akan ditambah daripada RM50 juta kepada RM100 juta,

“Projek-projek kerajaan pusat yang melibatkan projek besar kebanyakannya lebih daripada RM50 juta. Jadi, sebagai satu pendekatan awal, pengehadan RM50 juta adalah pengumuman yang kita tunggu-tunggu selama ini Insya-Allah,” katanya lagi.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.