Kuasa lulus projek bawah RM50 juta diberikan kepada Sabah, Sarawak

Spread the love

PUTRAJAYA, 4 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Kewangan bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak, diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.

“Walaupun ada Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak, tetapi banyak kata putus dibuat di Putrajaya, dan walaupun peruntukan besar diberikan tetapi tidak dapat dipenuhi kerana karenah pentadbiran serta mengikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk kepada Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.

Menjelas lanjut, Anwar berkata Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan diteruskan untuk memastikan pelbagai isu tertangguh berkaitan MA63 dapat dilaksanakan dengan baik.

Mengenai pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Anwar berkata kemajuan projek itu di Sarawak adalah lebih baik berbanding di Sabah, seterusnya memerlukan peruntukan tambahan yang akan diperincikan oleh Fadillah serta Kementerian Kerja Raya.

Pada masa sama, katanya Dewan Undangan Negeri Sabah akan memuktamadkan mengenai keputusan kerajaan memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di negeri berkenaan setelah ia  diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bulan lepas. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.