JKR Sarawak, Sabah diiktiraf sebagai jabatan teknikal, berkuasa urus projek hingga RM50 juta

Spread the love

KUCHING, 4 Jan: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Sabah diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal yang berkuasa mentadbir urus projek pembangunan Persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.

Khabar baik itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof menerusi satu kenyataan selepas diluluskan oleh Jemaah Menteri hari ini.

Menurut beliau kerajaan Persekutuan turut memberi komitmen untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah yang merupakan inisiatif kerajaan berkenaan dalam usaha menambahbaik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan persekutuan di kedua-dua negeri berkenaan.

“Projek Pan Borneo Sarawak kini sudah 91 peratus siap, manakala projek Pan Borneo Sabah sudah 73 peratus siap,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadillah turut menekankan kerajaan Persekutuan juga komited dalam meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang terbahagi kepada dua fasa.

Jelas beliau pelaksanaan itu melibatkan SSLR Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng) yang kini sudah 10 peratus siap dan SSL Fasa 2 serta Lebuhraya Trans Borneo yang melibatkan Miri-Limbang-Lawas.

Sementara beliau memberitahu Trans Borneo akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kerja Raya selesai melantik kontraktor yang dijangka akan dimuktamadkan pada 2024.

“Ini semua membuktikan komitmen dan kesungguhan tekad kerajaan dalam menyelesaikan semua isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih lagi tertunggak dan memartabatkan MA63 serta memantapkan infra rakyat di kedua-dua negeri berkenaan,” tegasnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.