Anwar terima panggilan daripada PM Pakistan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Rabu.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata, beliau dan Shehbaz memperbaharui komitmen untuk meneroka potensi kerjasama baharu antara Malaysia dan Pakistan dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan serta hubungan antara rakyat.

“Saya turut menzahirkan kesediaan supaya Malaysia meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi dengan Pakistan termasuk menerusi mekanisme Mesyuarat Suruhanjaya Bersama,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia dan Pakistan terus memperkukuh kerjasama dua hala sejak peningkatan tahap hubungan antara kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik pada 2019.

Pakistan merupakan rakan dagang penting di Asia Selatan dengan nilai dagang dua hala mencecah US$1.42 bilion pada tahun 2021.

Anwar juga memuat naik video perbualan telefon itu di Facebook, di mana Shehbaz mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) dan turut menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Anwar.

“Penghormatan bagi anda bukan sahaja daripada kacamata rakyat Malaysia dan Pakistan tetapi juga dari seluruh dunia, disegani dan memang diketahui,” katanya.

Shehbaz juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana membantu rakyat Pakistan yang terkesan dengan banjir yang melanda negara itu baru-baru ini.

Anwar pula berkata, beliau berharap hubungan mesra dan persaudaraan, termasuk hubungan peribadi dan antara kedua-dua negara itu, akan terus berkembang.

“Keutamaan kita adalah hubungan bersejarah antara Malaysia dan Pakistan yang telah lama terjalin…ia bukan sahaja terhad kepada perdagangan dua hala semasa tetapi juga daripada segi budaya, fahaman Islam dan falsafah yang telah banyak memanfaatkan kita,” kata Anwar. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.